titlehistory2.JPG (9265 bytes)

bar008.gif (1969 bytes)

            SRJK(C) Ming Terk terletak di Pekan Gelang Patah lebih kurang 32 km dari Bandaraya Johor Bahru. Sekolah ini telah ditubuhkan pada 4 April 1932 di atas tapak tanah yang dikurniakan oleh Mendiang Lee Kwang Chen. Pada masa itu, murid-murid tidaklah ramai bilangannya dan sekolah ini berupa sebuah bangunan atap.

            Oleh kerana bilangan murid yang bertambah dari masa ke semasa, maka sebuah bangunan baru telah dibina pada tahun 1939. Bangunan ini mengandungi 7 buah bilik darjah, sebuah dewan dan pejabat. Pada tahun 1967, pihak Lembaga Jemaah Pengurus sekali lagi membuat permohonan bantuan modal yang kemudiannya telah diluluskan oleh kerajaan sebanyak RM 23,000 bagi membina 6 buah bilik darjah, sebuah bilik muzik, tandas dan pejabat. Pelaksanaannya telah dibuat di dalam dua peringkat. Projek ini telah siap keseluruhannya pada tahun 1969.

            Anjung bilik darjah dan sebuah gelanggang permainan bola keranjang telah siap dibina pada tahun 1978. Memasang pagar di sekeliling padang, memasang lampu dan kipas angin, membina stor dan meratakan padang permainan dilaksanakan pada tahun 1979.

            Pada tahun 1980, pihak Lembaga Jemaah dan PIBG sekolah telah mengambil keputusan untuk membina sebuah bangunan dewan baru. Cadangan ini telah menerima sokongan yang baik dari masyarakat setempat. Kempen kutipan derma pun dilancarkan dan bantuan modal daripada kerajaan sebanyak RM 10,000 diluluskan maka projek ini pun dilaksanakan dengan menelan belanja sebanyak RM 150,000. Dewan baru ini kemudiannya telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Dato' Mohamad Bin Haji Rahmat pada 9 April 1982.

            Pihak sekolah juga telah berjaya merbitkan sebuah majalah sempena sambutan ulang tahun ke 50 penubuhan sekolah ini pada tahun 1982.

            Memandangkan bilangan murid yang semakin bertambah dari tahun ke tahun dan kenderaan utama mereka ke sekolah ialah basikal, maka pihak sekolah telah menyediakan mereka sebuah tempat letak basikal yang khas pada akhir tahun 1991. Menggantikan tiang-tiang siling bangunan yang lama dan mengecat semula yang menelan belanja RM 25,000 dilaksanakan setelah menerima bantuan modal dari kerajaan pada tahun yang sama. Pihak Lembaga dan PIBG sekolah sentiasa prihatin terhadap keceriaan sekolah ini, dan pada tahun 1993 bangunan kantin telah diperbesarkan dan bangunan asrama guru dan tandas diperbaiki dan pagar di kawasan sekeliling juga telah diganti baru berserta dengan sebuah bilik komputer yang dilengkapi dengan 10 buah komputer dan alat penghawa dingin dipasang di bilik tersebut dan di pejabat Guru Besar. Di samping itu juga pejabat Guru Besar dan perpustakaan telah dipasangkan dengan carpet untuk menambah keselesaan. Pada tahun 1994, pihak Lembaga sekali lagi mengeluarkan peruntukan bagi menggantikan sistem saliran paip di kawasan sekolah dan menggantikan tangki air besi dengan fiber agar sekolah ini mendapat bekalan air yang cukup dan bersih. Pada tahun 1995, sebuah bangunan yang mengandungi bilik Sains, bilik Seni, bilik rehat dan bilik percetakan telah siap dibina.

            Setakat ini murid-murid di sekolah ini adalah seramai 345 orang dari Tahun 1 hingga Tahun 6 yang mengandungi 11 buah bilik darjah dengan 20 orang tenaga pengajar termasuk Guru Besar dan 3 orang Guru Penolong Kanan. Kakitangan bukan guru pula seramai 3 orang yang terdiri dari seorang pembantu tadbir, seorang pembantu am rendah, dan 1 orang pekerja rendah awam. Pengawal keselamatan pula adalah dari Tuah Guard yang dibekalkan oleh pihak Jabatan melalui skim pengswastaan.